WASHINGTON 7 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan amaran keras terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perdagangan dengan Iran.
“Mereka yang menjalankan perniagaan dengan Iran tidak boleh berniaga dengan AS,” kata beliau dalam tweetnya.
Sesetengah sekatan yang dikenakan semula telahpun berkuatkuasa semalaman tetapi bagi eksport minyak, ia akan bermula pada November.
Di Iran, negara itu menyifatkan tindakan AS melaksanakan semula sekatan penuh ke atas Iran sebagai ‘perang psikologi’.
Sekatan negara kuasa besar dunia ke atas Iran disasarkan kepada sektor automotif Iran, urus niaga emas, perbankan, minyak mentah serta keluli.
Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, berunding dengan cara mengenakan sekatan adalah langsung tidak masuk akal.
“Kami sentiasa bersedia mengadakan diplomasi dan perbincangan, tetapi perbincangan memerlukan kejujuran,” katanya.
Langkah ini merupakan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) membatalkan persetujuan Perjanjian Nuklear 2015 pada Mei lalu.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran yang pihak yang cuba mencabul sekatan itu berdepan risiko kesan buruk.
Trumph yakin, tekanan ekonomi akan membuat Iran bersetuju dengan satu perjanjian baharu untuk menamatkan program nuklearnya.
Menteri-menteri Luar United Kingdom, Perancis dan Jerman antara negara-negara yang memeterai perjanjian nuklear bersama Rusia dan China, mengeluarkan kenyataan menyatakan kekesalan mereka terhadap sekatan Washington itu.
Mereka menyatakan perjanjian itu kekal penting kepada keselamatan sejagat.
Hassan juga mendakwa Trumph cuba menggunakan Iran sebagai bahan politik domestik menjelang pilihan raya Amerika Syarikat pertengahan November ini.
Sebelum ini dalam satu wawancara beliau memberitahu, AS akan menyesal kerana mengenakan sekatan ke atas Iran.











