MADRID 21 Mei – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane berkata mereka sudah bersedia untuk bertarung dengan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL) walaupun sekadar seri 2-2 di Villarreal.
Madrid menutup musim La Liga dengan berkongsi mata dengan Villarreal, untuk perlawanan ke-38 di El Madrigal, awal pagi tadi sekali gus menamatkan saingan di tangga ketiga.
Jaringan Bale dan Cristiano Ronaldo meletakkan Madrid di depan namun kelebihan pelawat itu berjaya disamakan pasukan tuan rumah menerusi jaringan Samu Castillejo, dan Roger Martinez pada hujung perlawanan untuk menghadiahkan satu mata.
Zidane, bagaimanapun, kelihatan tidak sabar selepas perlawanan itu untuk mengharungi aksi final di Kiev pada 26 Mei bagi mempertahankan kejuaraan.
“Saya belum mempunyai kesebelasan utama dalam kepala untuk final Liga Juara-Juara di Kiev tapi kami sudah bersedia dan paling penting tidak mendapat kecederaan hari ini.
“Ia merupakan perlawanan paling istimewa musim ini. La Liga sudah berakhir, kami mempunyai Liga Juara-Juara untuk bermain. Kami mahu memenangi semua yang kami boleh, tetapi tahun ini tidak mungkin dapat memenangi Liga dan kami akan pergi ke kejayaan di sana,” katanya yang turut memuji Bale berikutan sentuhan golnya.
Bale meneruskan sentuhan golnya pada pagi tadi untuk perlawanan keempat berturut-turut dalam La Liga.
“Dia berlatih dengan baik dan satu-satunya perkara berubah adalah dia kini menjaringkan gol, seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Saya gembira dengan persembahannya dan apa yang disumbangkan kepada pasukan. Tidak ada apa-apa perubahan. Satu-satunya perbezaan ialah dia telah menjaringkan gol,” katanya. – AGENSI











