BANGKOK 21 Mei – Kekalahan 2-3 kepada Indonesia menyempitkan peluang Malaysia untuk mencari tiket suku akhir Piala Uber, namun selagi saingan belum berakhir pemain negara enggan mengibar bendera putih.
Gagal mendapatkan kemenangan daripada aksi pembukaan Kumpulan D itu bermakna, Malaysia kini wajib mengalahkan juara 14 kali, China pada perlawanan kedua esok jika mahu meneruskan cabaran.
Melihat kepada prestasi, sejarah, rekod dan statistik, ia ibarat misi mustahil, namun bagi pemain beregu negara, Vivian Hoo apa sahaja boleh berlaku dalam acara berpasukan.
“Menentang China memang sukar tetapi cabaran harus diteruskan dan kami kena turun berjuang.
“Dari kami hendak curi mata? Sukar untuk katakan…ia terbuka buat semua orang, siapa yang bermain baik mungkin boleh melakukan kejutan,” kata ketua pasukan negara itu.
Malaysia mempamer semangat juang tinggi di Impact Arena hari ini, malah mendahului 1-0 menerusi Soniia Cheah yang menewaskan Fitriani Fitriani 10-21, 21-17, 21-14 dalam perseorangan pertama.
Pemain muda negara, S. Kisona juga mencuri tumpuan apabila mengutip mata dalam perseorangan ketiga selepas mengalahkan Ruselli Hartawan 21-23, 23-21, 21-13.
Bagaimanapun kekalahan yang dialami beregu pertama, Goh Yeah Ching-Lee Meng Yean, perseorangan kedua, Goh Jin Wei serta beregu kedua, Vivian-Chow Mei Kuan meranapkan peluang Malaysia.
Yeah Ching-Meng Yean tewas 13-21, 14-21 kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu, Jin Wei tunduk 20-22, 16-21 di tangan Gregoria Mariska Tunjung sebelum Vivian-Mew Kuan akur dengan dengan kekalahan 22-24, 22-20, 12-21.
Sementara itu, Jin Wei yang jelas tidak mampu menahan sebak mengakui, dia harus menyalahkan diri sendiri atas kekalahan ni kerana melakukan terlalu banyak kesilapan.
“Saya rasa, hari ini saya bermain terlalu tegang hingga melakukan banyak kesilapan sendiri. Saya patut boleh menang perlawanan ini.
“Saya tidak tertekan disebabkan beregu pertama kami kalah kerana sejak awal lagi kami tahu mata pasukan harus disumbangkan oleh perseorangan kerana Indonesia memiliki beregu pertama yang sangat kuat.
“Sekarang, saya tidak pasti apakah akan diturunkan menentang China atau tidak kerana saya tidak bermain bagus hari ini.
“Begitupun saya percaya, walaupun melihat ranking dan kertas China terlalu hebat tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam acara berpasukan,” ujarnya yang kelihatan cuba menahan air mata daripada mengalir.
China membenam Perancis 5-0 dalam aksi pembukaan hari ini, manakala Malaysia akan bertemu Perancis dalam perlawanan terakhir esok. – UTUSAN











