KUALA LUMPUR 21 Mei – Satu inisiatif sedang digerakkan bagi mengumpul satu juta tandatangan orang Melayu mengenai 25 tuntutan Melayu untuk diserahkan kepada kerajaan.
![]() |
|
MOHD. KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ
|
Inisiatif itu digerakkan oleh seorang peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang memuat naik petisyen tuntutan berkenaan menerusi laman sosial Facebook beliau, Buzze Azam.
Beliau yang juga bekas calon Bebas kerusi Parlimen Pandan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjelaskan, tuntutan itu adalah bersempena dengan sambutan ke-70 tahun penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Beliau mendakwa, meskipun tuntutan-tuntutan itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun perkara tersebut semakin dilupakan oleh kerajaan.
“Demi kelangsungan hidup bernegara untuk anak cucu kita, marilah bersama-sama menuntut kembali hak yang sememangnya telah termaktub lama dalam Perlembagaan Persekutuan sejak negara merdeka pada 1957,” katanya menerusi petisyen yang dimuat naik di laman Facebook beliau sejak semalam.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk memperkukuhkan Islam sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Petisyen itu juga menuntut supaya digunakan kembali istilah bahasa Melayu seperti diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Antara lain ialah menuntut fasal wajib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuk mesyuarat, sidang akhbar, kertas kerja dan pembentangan.
Petisyen tersebut turut menuntut supaya Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dipinda bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.
Selain itu, perkara lain yang dikemukakan dalam petisyen berkenaan termasuk menuntut sistem persekolahan satu aliran kebangsaan bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum.
Dalam petisyen itu, turut dituntut supaya sebuah Suruhanjaya Hak Istimewa Melayu ditubuhkan di bawah Parlimen khusus untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan kuasa Seri Paduka menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.












