KUALA LUMPUR 21 Mei – PropertyGuru mendapati kira-kira 92 peratus daripada Kaji Selidik Sentimen Pengguna lebih memilih untuk memiliki rumah sendiri.
![]() |
|
SHELDON FERNANDEZ
|
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, statistik itu menyangkal peningkatan persepsi bahawa lebih ramai rakyat Malaysia akan memilih untuk menyewa daripada membeli hartanah kediaman sendiri.
Katanya, rumah melambangkan kestabilan, keselamatan dan merupakan kelas aset utama untuk pengumpulan kekayaan melalui peningkatan modal dan hasil sewa.
“Walaupun kos hidup kian meningkat, kadar penolakan pinjaman makin tinggi, tambahan pula dengan isu kemampuan, rakyat Malaysia termasuk generasi muda masih menjadikan pemilikan rumah sebagai satu aspirasi gaya hidup utama.
“Ini mungkin disebabkan tekanan daripada ahli keluarga atau rakan sebaya mahupun daripada persepsi tradisional bahawa memiliki rumah merupakan jaminan yang kukuh buat masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Seramai 817 responden dari Malaysia dan 1,900 responden dari Asia Tenggara telah menyertai Kaji Selidik Sentimen Pengguna separuh kedua 2017.
Menurut Fernandez, tinjauan PropertyGuru itu juga menunjukkan kebanyakan mereka yang sedang menyewa juga bercita-cita untuk membeli rumah jika mereka mampu.
Jelasnya, bagi mereka yang pilih untuk menyewa, lokasi yang berdekatan dengan pejabat atau tempat kerja menjadi kriteria yang paling penting (71 peratus) diikuti dengan pertimbangan keluarga (55 peratus) dan akses pengangkutan awam (52 peratus).
“Kediaman bertingkat tinggi terutamanya kondominium dan pangsapuri perkhidmatan menjadi pilihan utama penyewa.
“Penyewa menganggap sewa bulanan sekitar RM501-RM800 untuk sebuah bilik adalah bajet yang realistik, manakala mereka yang ingin menyewa rumah berasa sewa bulanan antara RM801-RM1,100 adalah angka yang ideal,” katanya.












