Hanya 214 peniaga mohon 
jual juadah berbuka puasa - Utusan Malaysia

Hanya 214 peniaga mohon 
jual juadah berbuka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 21 Mei – Seramai 214 peniaga menjual juadah berbuka puasa di tapak gerai kawasan Majlis Daerah Lipis (MDL) iaitu di bandar Kuala Lipis, pekan Padang Tengku dan pekan Benta yang bero­perasi sejak hari pertama Ramadan tahun ini.

Mohd. pauzi Abu Hussaini

Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya menawarkan 268 tapak lot di tiga lokasi utama berkenaan, tetapi hanya 214 orang pemohon dite­rima untuk mengendalikan jualan makanan sepanjang bulan puasa ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar sewa RM310 untuk jualan pelbagai jenis makanan dan keperluan tertentu termasuk disediakan kemudahan khemah, manakala gerai tanpa khemah dikenakan caj RM200 kepada penyewa untuk jualan kuih-muih.

“Taklimat berhubung peraturan perniagaan kepada peniaga ini telah pun disampaikan oleh penguat kuasa MDL, pegawai Pejabat Agama Islam Lipis, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Ko­perasi dan Kepenggunaan sebelum gerai berkenaan beroperasi pada hari pertama Ramadan,” katanya selepas taklimat kepada peniaga bazar Ramadan, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, hasrat MDL menyediakan kemudahan itu bukan sahaja untuk keselesaan penduduk membeli juadah berbuka puasa malah bagi menggalakkan pembangunan keusahawanan makanan dalam kalangan peniaga kecil di daerah ini.

“Kita berharap pengusaha makanan ini bukan hanya berniaga pada bulan puasa sahaja malah diteruskan selepas ini memandangkan banyak gerai dan premis niaga MDL yang boleh di­sewa dengan kadar harga berpatutan,” katanya.

Beliau juga meminta semua peniaga menjual makanan berasaskan sumber tempatan atau tradisional kerana juadah itu antara jaminan menjadi pilihan penggemar termasuk pengunjung yang singgah berbuka puasa di hotel dan restoran di bandar ini.

Dalam pada itu, Mohd. Pauzi meminta peniaga mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan termasuk tidak menjual makanan yang telah basi.

Tambahnya, penguat kuasa MDJ akan bertindak mengikut peraturan sekiranya didapati pe­niaga degil dan cuai seperti mana taklimat peraturan yang diberikan sebelum gerai makanan itu beroperasi di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN