KUALA LUMPUR 15 Mei – Pengendali rangkaian restoran terbesar di rantai ini, QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi menubuhkan 50 cawangan KFC Drive-Thru di stesyen minyak Petronas di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, kerjasama strategik bersama PDB ini membuka peluang baik kepada QSR Brands dalam usaha memperluaskan perniagaan dan perkhidmatan restorennya.
“Sebagai sebuah restoran makanan, kami mahu perkhidmatan kami sentiasa mudah diperolehi pelanggan.
“Ini antara strategi pembangunan supaya dapat memenuhi tuntutan pelanggan hari ini dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis Mou yang diadakan di KFC Petronas TTDI Drive-Thru di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed M. Tahir berkata, sejak tahun 2003 perniagaan PDB dan QSR Brands telah mengecapi pelbagai kejayaan bersama.
“Kami berbesar hati menyambut komitmeb QSR Brands untuk terus memperluaskan kedudukannya menerusi rangkaian stesyen minyak Petronas.
“Kerjasama strategik ini merupakan sebuah bukti kepada aspirasi kami untuk memperluaskan tawaran kepada pelanggan dan terus memberi perkhidmatan yang baik,” katanya.
Mou berkenaan ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan KFC Malaysia, Ling Mee Jiuan dan Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Restoren QSR Brands, Merrill Pereyra serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd Ibrahimnuddon Mohd Yunus. – UTUSAN ONLINE










