KUALA LUMPUR 13 Mei – Kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung tiga nama yang bakal mengisi portfolio menteri kanan Kabinet hanyalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili PKR.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendirian parti itu adalah berlandaskan pandangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong penuh kepemimpinan pasukan Dr. Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memimpin Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.
“Itu pandangan Rafizi sebagai salah seorang pemimpin tertinggi. Pendirian PKR adalah selaras dengan pandangan Anwar.
“Namun kita juga harus menghormati pandangan ahli-ahli parti yang lain. Saya percaya dan yakin proses ini akan berjalan baik, cukup kondusif dan memenuhi aspirasi rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis kesyukuran kemenangan rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greenwood Gombak Setia, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib. – UTUSAN ONLINE










