KOTA BHARU 11 Mei – Barisan Nasional (BN) Kelantan berharap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membatalkan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut melibatkan negeri ini.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ECRL merupakan projek berimpak tinggi yang mampu menjana ekonomi negeri-negeri di Pantai Timur, terutama Kelantan.
Sehubungan itu katanya, tidak ada sebab kerajaan Pusat yang baharu enggan meneruskan projek yang dimulakan oleh kerajaan Pusat terdahulu.
“Hal ini terletak di tangan kerajaan baharu untuk menentukan hala tuju. Cuma bagi pihak kerajaan yang lama, kita merasakan projek ini baik untuk Pantai Timur dan Kelantan kerana mampu menjana ekonomi lebih baik kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas BN negeri di Pejabat UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Terdahulu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bertemu semua kepemimpinan negeri serta calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Projek ECRL bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek berkenaan dijadual siap pada Jun 2024.
Dalam perkembangan sama, Mustapa berharap kerajaan Pusat meneruskan pelbagai projek berimpak tinggi lain seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), pembinaan lebuh raya serta jejambat dan jalan bypass di seluruh negeri.
“Mana-mana projek yang sudah diluluskan, sudah ada kontraktor patut tidak ada masalah. Harap diteruskan kerana Kelantan amat memerlukannya.
“Walaupun Kelantan di bawah pembangkang, kita harap kerajaan PH berlaku adil sebagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku adil ketika menjadi Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










