LUMUT – Seramai 30 orang pengundi termasuk bekas ahli-ahli UMNO bahagian Lumut menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.
Borang penyertaan diserahkan kepada Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Lumut, Akmal Maradzi dalam satu majlis ringkas di Pulau Pangkor hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Akmal memberitahu, penerimaan keahlian baharu parti itu menandakan keyakinan orang Melayu khususnya generasi muda terhadap prinsip perjuangan Bersatu.
“Bersatu merupakan wadah baharu perjuangan membela agama, bangsa dan negara. Selama ini, agenda pernah didokong oleh UMNO, tetapi parti itu telah gagal melaksanakan amanah mereka untuk orang Melayu.
“Kita mengharapkan lebih ramai lagi rakyat bersama-sama dengan Bersatu dan Pakatan Harapan dalam mencorakkan masa depan negara yang lebih baik pada masa depan,” ujarnya. – K! ONLINE











