Himpunan 8 Dis.: Hindar provokasi, rusuhan - Utusan Malaysia

Himpunan 8 Dis.: Hindar provokasi, rusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT 25 Nov. – Peserta perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan di ibu negara, 8 Disember ini dinasihatkan supaya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan, provokasi dan rusuhan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perlakuan negatif perlu dielakkan daripada berlaku dengan mematuhi segala peruntukan undang-undang yang menjadi salah satu syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya minta supaya jangan ada sebarang kekacauan, provokasi dan rusuhan. Jika permit diberikan kepada penganjur iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), maka saya harap peserta-peserta juga akan patuhi Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Khas Presiden UMNO dan Kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersama Pemimpin UMNO Bahagian-bahagian negeri di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, pada perhimpunan tersebut, UMNO akan memberi komitmen sepenuhnya dengan menghantar peserta daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

“Saya ingin sekali lagi mengesahkan bahawa UMNO akan terus memberikan sokongan kepada Ummah yang menjadi penganjur kepada perhimpunan ini.

“Ini kerana Pas telah menyatakan perhimpunan itu adalah sebagai tanda kesyukuran, NGO meyatakan ia sebagai tanda sokongan dan UMNO pula sebagai tanda terima kasih

“Oleh itu UMNO ingin memberikan komitmen sepenuhnya bahawa seluruh 191 bahagian di negara ini akan menghantar peserta-peserta ke perhimpunan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×