UMNO ragu keputusan kerajaan tidak ratifikasi ICERD - Utusan Malaysia

UMNO ragu keputusan kerajaan tidak ratifikasi ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Nov. – UMNO tetap meragui pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selagi perkara tersebut tidak dibawa ke Parlimen bagi diputuskan.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan rekod prestasi PH terutama dengan mengambil contoh isu janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apa sahaja dilihat boleh berlaku dengan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD tersebut.

“Kebarangkalian untuk kerajaan PH membuat pusingan-U terhadap keputusan itu tidak boleh ditolak. Justeru, selagi keputusan tidak meratifikasikan ICERD tidak dibawa ke Parlimen bagi diputuskan, UMNO tetap meraguinya.

“Malah reaksi parti politik seperti Pas dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sangat jelas menunjukkan walaupun kita alu-alukan keputusan itu, namun semua meraguinya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, jelasnya, walaupun UMNO menolak ICERD, tidak bermakna parti itu bersikap perkauman atau mengetepikan hak dan kepentingan agama dan kaum lain.

“UMNO kekal dengan prinsipnya sebagai parti yang membela kepentingan orang Melayu dan bumiputera. UMNO juga menghormati serta membela kepentingan kaum-kaum lain sebagaimana yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini sangat jelas dan rakyat tidak perlu gusar mengenainya kerana sejarah lebih 60 tahun BN dan UMNO memerintah, semua kaum mendapat nikmat sebagaimana sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×