PORT DICKSON – Ribuan penduduk Port Dickson dihimpit kesulitan mendapatkan bekalan air bersih akibat kejadian tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dekat sini sejak 22 November lalu.
Seorang penduduk, Jamil Khamis, 54, berkata, gangguan bekalan air bersih yang telah lama berlarutan itu menyulitkan urusan seharian penduduk Port Dickson.
“Tidak banyak lori bantuan menghantar bekalan air bersih masuk ke kawasan penduduk yang terputus bekalan air setakat ini.
“Tangki statik yang diletakkan di masjid-masjid pula hanya untuk tujuan kecemasan seperti kematian dan kenduri sahaja. Kami pun nak hidup. Masak dan mandi semua guna air,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Haliza Zainuddin, 34, berkata, air mineral yang dijual di kedai-kedai di sekitar Port Dickson pula semakin berkurangan sejak gangguan bekalan air bersih berlaku.
Katanya, sebahagian penduduk terpaksa berulang-alik ke Seremban semata-mata untuk membeli air mineral bagi kegunaan mereka dan seisi keluarga.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Zulkarnain, 33, berkata, sebilangan penduduk membuat keputusan menumpang sementara di rumah saudara atau rakan mereka di luar Port Dickson.
“Mereka membuat keputusan itu selepas mendapati bekalan air bersih masih belum pulih. Stok air bersih yang disimpan di rumah masing-masing juga semakin berkurangan,” katanya.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) pada 22 November lalu memaklumkan LRA Sungai Linggi ditutup sementara berikutan kejadian tebing runtuh di LRA Sungai Linggi disebabkan hujan lebat.
Gangguan bekalan air di sebahagian daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau itu dianggarkan menjejaskan hampir 45,000 pemilik premis.
SAINS melakukan penyelenggaraan bagi membaiki tebing yang runtuh tersebut, bagaimanapun tebing itu runtuh semula dalam kejadian tengahari tadi.
“Penutupan loji kali ini akan mengakibatkan gangguan melebihi 48 jam,” kata SAINS dalam satu kenyataan media hari ini.











