JOHOR BAHRU 24 Nov. – Kerjaya ibunya sebagai jururawat selama lebih 20 tahun menjadi pendorong bagi Ayu Jasmin Jaffri, 21, mengikuti jurusan Diploma Kejururawatan di Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt).
Dengan usaha gigihnya, Ayu Jasmin dipilih menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif dalam Istiadat Konvokesyen Instedt Ke-13 di sini hari ini.
Ayu Jasmin yang menetap di Pasir Gudang berkata, ibunya, Hafizah Abd. Malek, 46, merupakan sumber inspirasi baginya memandangkan dia banyak didedahkan dengan kerjaya kejururawatan sejak kecil.
“Sejak kecil saya berminat untuk menjadi jururawat kerana suka lihat cara ibu bekerja dan kadangkala merawat ahli keluarga dan sanak saudara yang sakit.
“Sebab itulah lepas menamatkan sekolah menengah, saya tidak berfikir panjang dan mengambil jurusan kejururawatan serta akhirnya berjaya menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen berkenaan.
Seramai 256 graduan daripada 11 jurusan menerima diploma masing-masing yang disampaikan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Instedt, Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Instedt (M) Sdn. Bhd., Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Instedt (M) Sdn. Bhd., Datin Hariza Hashim dan Ketua Eksekutif Instedt, Prof. Madya Dr. Mat Jizat Abdol.
Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, meskipun ibunya berhenti kerja selepas melahirkan adik bongsunya, namun dia berhasrat untuk meneruskan legasi dalam bidang kejururawatan itu dengan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Ayu Jasmin yang aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum serta pernah menyertai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institut berkenaan kini bekerja sebagai jururawat dewan bedah di sebuah hospital swasta di sini sejak Ogos lalu.











