KESEPAKATAN hubungan antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada masa ini cukup erat dan mesra. Mereka saling bekerjasama serta memberi sokongan dalam setiap keputusan.
Keharmonian yang ditunjukkan pemimpin parti tersebut gambaran awal bahawa PN di Kedah mempunyai peluang cerah memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Pada masa ini, Pas menguasai sebanyak 15 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) memiliki dua kerusi dan Bersatu pula menguasai enam kerusi selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti sebelum ini.
Gandingan 23 ADUN tersebut yang mengulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 16 Mei lalu, sebelum Muhammad Sanusi Md. Nor dilantik sebagai Menteri Besar baharu yang mewakili PN.
Jumlah kerusi pembangkang di DUN Kedah pada masa ini pula ialah 13 iaitu lima kerusi ditawan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah mempunyai empat kerusi dan DAP serta Bebas pula masing-masing memiliki dua kerusi.
Menurut sumber, percaturan gandingan PN di atas kertas diakui nampak hebat dan kuat berdasarkan pengiraan undi daripada penyokong-penyokong ketiga-tiga parti tersebut.
Namun, katanya, sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku dalam PN di negeri ini menjelang PRU-15 nanti sekiranya soal agihan kerusi tidak dapat diselesaikan secara harmoni.
“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan calon daripada ketiga-tiga parti itu sekiranya timbul perasaan tidak berpuas hati dalam proses agihan kerusi nanti.
“Situasi tersebut dilihat memberi kelebihan kepada PH untuk merampas semula Kedah daripada genggaman PN sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sumber itu memberitahu, perkara tersebut kemungkinan besar boleh berlaku berikutan Pas, UMNO dan Bersatu di Kedah sehingga kini belum mencapai kata sepakat dalam penentuan calon serta kawasan yang bakal ditandingi pada PRU-15.
Pas sebelum ini dikhabarkan mahu bertanding hampir 20 daripada 36 kerusi pada pilihan raya umum nanti berikutan parti itu cemerlang memenangi 15 kerusi pada PRU-14 lalu.
Sementara itu, UMNO dan Bersatu pula masing-masing juga mempunyai sasaran jumlah calon, namun mereka tidak mahu mengumumkan lebih awal jumlah yang bakal bertanding nanti.
“Difahamkan, UMNO juga mahukan banyak kerusi kerana kekalahan teruk pada PRU-14 tidak boleh dibuat penilaian memandangkan ketika itu berlaku tsunami politik penolakan BN di seluruh negara.
“Bersatu Kedah pula mendakwa mereka tidak mahu mendedahkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi dengan alasan gabungan PN belum dipastikan sama ada kekal sehingga PRU-15 termasuk di peringkat nasional,” kata sumber itu.
Sumber itu menambah, PH mempunyai peluang cerah untuk merampas semula kerajaan Kedah pada PRU15 nanti sekiranya berlaku perbalahan dan perebutan kerusi yang serius dalam PN, sehingga parti-parti terbabit membawa haluan sendiri. – UTUSAN










