KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor merampas kira-kira 40,000 liter bahan api disyaki diesel dan sebuah kapal tangki di Dermaga 10, Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Gelang Patah, 10 Oktober lalu.
Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata. siasatan awal mendapati kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu memiliki barang kawalan dan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM84,000.
“Selain itu, kami juga mendapati pemilik kapal terbabit tidak memiliki lesen bunkering yang dikeluarkan KPDNHEP bagi tujuan menjual dan membekalkan barangan kawalan,” katanya kepada pemberita di stor KPDNHEP, di Senai, dekat sini, hari ini.
Khairul Anwar berkata, kapten dan enam kru kapal warga Indonesia berusia antara 30 hingga 48 tahun masih ditahan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sehingga kes tersebut selesai disiasat.
Menurutnya, modus operandi kapal terbabit (kapal tangki) adalah dengan menghampiri kapal-kapal kontena dan menawarkan bahan api seperti diesel kepada mereka dan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, kapal tangki terbabit akan menghimpit kapal kontena bagi memindahkan bahan api tersebut. – Bernama











