KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat negara ini supaya tidak mencontohinya dalam bidang sukan kerana beliau sendiri tidak begitu kerap menjalankan aktiviti fizikal.
Perdana Menteri mengakui tidak begitu aktif sejak kecil dan kesannya beliau tidak menggunakan otot dan tubuh badan sepenuhnya.
“Saya mengakui saya bukan ahli sukan sangat. Saya ini tak guna otak dan tubuh badan seperti yang saya nasihatkan orang lain. orang lain patut buat apa saya tak buat.
“Jangan ikut Dr. Mahathir, dia tak betul pun. Suruh orang bersukan, dia tak bersukan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Tambah Dr. Mahathir, beliau hanya terlibat dalam sukan ragbi ketika sekolah dan mengakui sukan tersebut tidak memerlukan kecekapan.
Walau bagaimanapun beliau berkata, pada usianya 93 tahun, sukan ragbi itu tidak boleh dllakukan lagi.
“Sejak sekolah lagi saya tak main banyak sukan yang suka main adalah ragbi. Mengapa ragbi? Ragbi tak perlu kecekapan pun, yang perlu kena berani kepala hantuk kepala lain.
“Bukan nak masuk bola dalam gol sangat, cuma hendak berkelahi sama-sama sahaja. itu sebab saya terlibat dengan ragbi,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











