Azizulhasni sambar emas keirin - Utusan Malaysia

Azizulhasni sambar emas keirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI 11 Okt. – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berjaya menebus kekecewaan meraih gangsa Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang apabila merangkul pingat emas acara keirin pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Lebih manis, kejayaan juara dunia keirin 2017 itu turut menyaksikan dendamnya terhadap pemenang pingat emas keirin Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit terbalas selepas pelumba muda itu menamatkan saingan final di kedudukan kelima.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ mengakui, tidak memikirkan soal membalas dendam sebaliknya hanya fokus dalam usaha mempertingkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya turun berlumba dalam kejohanan ini tanpa fokus untuk menebus kekalahan atau apa sahaja yang telah berlaku di Sukan Asia. Episod di sana (Jakarta) sudah habis.

“Biasalah dalam perlumbaan boleh ada kesilapan dan ada ketika kita tidak bernasib baik jadi semua itu sudah dinilai dan kini masa untuk perbaiki segala kelemahan tersebut dan fokus terhadap misi membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Pingat perak dimenangi pelumba Indonesia, Puguh Admadi sementara gangsa milik pelumba Taiwan, Shih Hsin Hsiao.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, John Beasley tidak mahu peminat sukan berbasikal negara terus membandingkan dua pelumba tersebut sambil menyifatkan Azizulhasni berada di satu tahap yang berbeza sebagai antara pelumba terbaik dunia.

Katanya, tumpuan serta kerja keras Azizulhasni serta skuad negara kini adalah terhadap usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 selain mencipta kejayaan di pentas Kejohanan Asia 2019 Januari depan diikuti Kejohanan Dunia 2019 pada Februari depan.

“Pelumba Thailand ini bertuah di Sukan Asia. Dia bukan ancaman kepada kami dan anda dapat melihat Azizulhasni mudah mengalahkannya hari ini. Azizulhasni adalah juara dunia dan banyak kalim menaiki podium di pentas dunia. Oleh itu hentikan perbandingan antara mereka.

Bagi kami apa yang lebih penting adalah kelayakan ke Sukan Olimpik selepas ini. Walaupun belum berada pada tahap terbaik namun kami menuju ke arah itu. Kami ada pasukan terbaik Asia dengan salah seorang pelumba terbaik di dunia,” katanya.

Azizulhasni turut membawa pulang emas dalam acara pecut pada Kejohanan Trek GP Asia Tenggara 2018 yang berakhir hari ini selepas mudah menewaskan Admadi di final semalam. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini