KUALA SELANGOR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited dan menyokong sebarang usaha ke arah mewajibkan pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan ingin memastikan setiap kanak-kanak di negara ini diberi peluang untuk mendapat pendidikan, hidup sihat, menikmati kegembiraan serta kesejahteraan dalam kehidupan mereka.
“Faktor pendidikan ini juga merupakan salah satu pemangkin usaha-usaha yang kini dijalankan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi pasangan bukan Islam dan pasangan Islam.
“Selain itu, faktor kesihatan juga penting apabila perkahwinan terlalu muda ia akan menyebabkan pelbagai komplikasi kepada wanita muda dan isu perkahwinan muda ini kita sedang perhalusi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Unisel di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Wan Azizah berkata, kerajaan juga telah merangka pelbagai program dalam Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara untuk membina kehidupan kanak-kanak yang lebih selamat dan sejahtera serta merancang masa hadapan yang lebih cemerlang.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, usaha berkenaan dilaksanakan bagi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
“Dalam lawatan saya ke Jakarta baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa Indonesia sedang dalam rangka usaha menjadikan 514 daerah dalam negara tersebut sebagai ‘Mesra Kanak-kanak’ berdasarkan 24 indikator.
“Ini adalah sesuatu yang boleh kita kaji secara mendalam untuk mendapatkan manfaat bagi negara kita pula,”ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu kanak-kanak perlu diberi perhatian dan ditangani dengan mengembleng setiap sumber daripada semua sektor.
Katanya, perkara itu sangat penting untuk semua pihak terus berusaha menggalakkan inklusiviti dalam meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak secara mampan sebagai suatu tanggungjawab kolektif bersama. – K! ONLINE











