KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayob menyambut baik langkah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Sigh Deo yang melakukan pertukaran serta merta jawatannya berkuat kuasa pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir dilantik sebagai pemangku ketua pengarah menggantikan Fauzi.
Menurut Fauzi, tindakan itu dilakukan untuk penstrukturan semula Finas dan bagi memastikan kelancaran tadbir urus.
“Selaku pegawai kanan Finas saya mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Gobind dan kementeriannya demi kelancaran serta ketelusan dalam apa bentuk sekali pun berkaitan dengan Finas.
“Selama ini Finas memang memainkan peranan penting dalam usaha meningkat mutu dan pengeluaran filem tempatan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada pihak media.











