PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak tidak kira pihak kerajaan atau Raja-raja perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan sekarang.
Perdana Menteri berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan berlaku huru-hara dalam negara sekali gus menyukarkan proses pemulihan.
“Bagi Perdana Menteri, Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis dan tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan.
“Ini amat penting kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan pagi Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.











