PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi keterangan lapan jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.
Ini merupakan keterangan kali ketiga bekas Timbalan Perdana Menteri itu kepada SPRM. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di kompleks SPRM pada pukul 9.20 pagi sebelum beredar pada pukul 5.40 petang.
Terdahulu anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah turut hadir memberi keterangan kepada SPRM sebelum dilihat meninggalkan bangunan itu pada pukul 4.50 petang.
Selain kedua-dua beranak itu, turut memberi keterangan pada hari sama bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi ialah abang tiri kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.
Ahmad Zahid ketika diserbu media selepas selesai memberi keterangan berkata; “Semuanya okay. Tiada apa-apa. Kasihan kamu (media) hujan-hujan.”











