KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini berbesar hati menghulurkan bantuan pendidikan kepada waris enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terkoban semasa operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu lalu.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) khusus bagi membantu masa depan anak-anak kecil wira negara itu.
“Kita akan bertemu dengan waris untuk memastikan berapa jumlah yang boleh bantu dan sekiranya ada yang ingin menyumbang juga boleh menyalurkan terus ke dalam akaun itu sekiranya berkemahuan.
“Ini merupakan satu pengorbanan amat besar dan ahli keluarga mangsa sememangnya layak untuk terima bantuan daripada pihak PTPTN,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Minggu Menabung SSPN 2018 di pusat beli-belah One Utama di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd. Khalid .
Sementara itu, mengenai Kempen Minggu Menabung SSPN 2018 yang diadakan buat julung-julung kali bermula hari ini sehingga 7 Oktober itu Wan Saiful berkata, pihaknya menyasarkan pembukaan akaun baharu sebanyak 1,300 melibatkan simpanan sejumlah 1.5 juta di seluruh negara.
Menurut Wan Saiful, sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh kempen yang berlangsung selama tiga hari itu apabila kempen yang diadakan di One Utama, Petaling Jaya telahpun berjaya mengutip simpanan sebanyak RM50,000 dengan pembukaan sejumlah 30 akaun baharu pada hari pertama kempen berkenaan.
Sejak dilancarkan pada tahun 2004 sehingga 31 Ogos lepas, pembukaan akaun baharu SSPN adalah sebanyak 3.6 juta dengan jumlah deposit berjumlah RM3.8 bilion.
“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memulakan menabung sekarang dan jangan bertangguh.
“Bertindaklah dengan membuat perancangan kewangan dan simpanan anak-anak, semua kelebihan serta keistimewaan diperlukan ibu bapa sudahpun disediakan dalam produk simpanan PTPTN,“ ujarnya. – K! ONLINE











