Kisah Pak Din, MPK dan seorang pengadu - Utusan Malaysia

Kisah Pak Din, MPK dan seorang pengadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, Pak Din,68, bukanlah siapa-siapa, hanya seorang warga emas yang mencari makan dengan berniaga kuih secara kecil-kecilan di bahu jalan berhadapan kediamannya di Taman Sena Indah di sini.

Bagaimanapun nama Pak Din mula menjadi sebutan ramai khususnya rakyat di negeri ini yang menyatakan sokongan kepada warga emas berkenaan selepas gerainya yang diusahakan lebih 20 tahun itu dirampas Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rabu lalu.

Ramai yang sayu dengan nasib Pak Din atau nama sebenarnya Jamaluddin Mohamad itu, malah yang lebih terkesan sudah pastinya lebih 30 pembekal terdiri daripada golongan memerlukan yang selama ini menumpang meletakkan kuih di gerai tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, Pak Din turut mengakui sendiri bahawa dia lebih bimbang mengenai nasib ramai pembekalnya terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, dan golongan asnaf yang hanya bergantung pendapatan hasil daripada jualan kuih itu.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, pastinya ramai melihat tindakan MPK itu sebagai tidak patut iaitu disebabkan aduan daripada hanya seorang pengadu, mereka telah mengambil tindakan.

Sedangkan, hampir keseluruhan penduduk di kawasan berkenaan menyatakan dengan jelas melalui tandatangan yang dikumpul bahawa mereka menyokong Pak Din meneruskan perniagaan di situ.

Bagi mereka, kewujudan gerai berkenaan yang terletak di bahu jalan kawasan taman itu langsung tidak menggangu lalu lintas atau menyusahkan orang awam sebaliknya rasa tidak puas hati itu hanya datang daripada seorang individu.

Bagaimanapun daripada satu sudut, MPK sudah tentu ada alasan tersendiri mengapa mereka terpaksa mengambil tindakan demikian dan pastinya majlis tersebut hanya menjalankan tugas selepas menerima aduan.

Manakala pengadu juga pastinya mempunyai alasan dan sebab apabila sanggup membuat aduan beberapa kali kepada pihak berkuasa itu yang akhirnya usaha tersebut berjaya apabila gerai yang dikatakan menggangu keselesaan mereka sekeluarga sudah tiada.

Dalam isu ini, jalan yang terbaik dalam memastikan situasi ini tidak berlarutan adalah semua pihak sama ada Pak Din, MPK dan pengadu berkenaan perlu mengadakan pertemuan secara bersama.

Mungkin melalui pertemuan itu, satu kata sepakat yang menguntung semua pihak akan berjaya tercapai.

Mana tahu, Pak Din mungkin boleh kembali berniaga di kawasan itu dengan MPK pula memberikan sedikit kelonggaran mengenainya, begitu juga pengadu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini