Pengarah syarikat didakwa salah guna harta hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didakwa salah guna harta hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


PETALING JAYA 2 Okt. – Seorang pengarah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik seorang ahli perniagaan berhubung pembelian saham syarikat bernilai lebih RM900,000, tiga tahun lalu.

TSHAI FOOK CHEUNG mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahgunakan wang milik seorang ahli perniagaan berjumlah lebih RM900,000 tiga tahun lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN.


Warga emas, Tshai Fook Cheung, 78, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 30, Jalan 223 Seksyen 51A di sini pada 18 Mac 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…


Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai Pengarah syarikat Pacific Engineering Sdn. Bhd. didakwa dengan curangnya telah menyalahgunakan wang tunai milik Tan Chin Ching, 58, yang mempercayai tertuduh akan menguruskan proses jual beli saham syarikat, sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang RM954,286 sekiranya tidak diperdaya sedemikian.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebat dan denda.


Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Sarah Amirnuddin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara Fook Cheung yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan penjamin membawa wang RM5,000 sahaja.


“Saya juga merupakan warga emas yang mempunyai pelbagai penyakit kronik iaitu asma dan diabetes,” kata Fook Cheung.


Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini