KEPALA BATAS 2 Okt. – Empat kanak-kanak yang melarikan diri dari asrama lelaki Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti di sini sejak dua hari lalu ditemui di Alor Setar, Kedah, petang tadi.
Kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat di beberapa lokasi selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, Muhammad Aiman Abdul Razzaq, 12, ditemui dalam keadaan demam di Taman Selesa pada pukul 4.30 petang.
“Idris Hakim Haslam, 11, ditemui pada pukul 5 petang di sebuah rumah kosong di Jalan Meranti manakala Muhammad Nur Khidir Azri, 12, dan Muhammad Nur Iman Abdul Mu’min, 9, ditemui di Stesen Bas Shahab Perdana 45 minit kemudian.
“Kesemua mereka dibawa pulang ke ibu pejabat Polis Daerah SPU petang ini untuk dirakam keterangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kanak-kanak terbabit melarikan diri melalui tingkap bilik asrama pada pukul 10 malam 30 September lalu sebelum disedari oleh pembantu Kebajikan Masyarakat Rumah Kanak- Kanak tersebut. – UTUSAN ONLINE











