Sukarelawan KKKL warnai Pantai Kelanang - Utusan Malaysia

Sukarelawan KKKL warnai Pantai Kelanang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT 2 Okt. – Dalam usaha menjadikan Pantai Kelanang di sini sebagai destinasi pelancongan menarik setaraf Pantai Morib dan Pantai Port Dickson, sekumpulan 40 sukarelawan memulakan inisiatif mengindahkan kawasan tersebut dengan menghasilkan mural di tandas awam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A. Hamid berkata, kesemua sukarelawan terbabit terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).

Menurutnya, mereka menghabiskan masa selama tiga hari bagi menyiapkan lukisan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerjasama yang terjalin antara MDKL dan KKKL sejak 2016 telah menceriakan beberapa kawasan di daerah ini dengan penghasilan lukisan sedemikian.

“Di bawah inisiatif KKKL, Pantai Kelanang dipilih bagi melaksanakan program Aspirasi Mural. Seramai 40 sukarelawan terdiri daripada pelajar-pelajar KKKL terlibat selama tiga hari bagi melukis dan mengecat tandas awam di pantai tersebut.

“Antara objektif program tersebut adalah mewujudkan suasana yang ceria dan harmoni, memberi dan menambah ilmu pengetahuan baharu kepada pensyarah dan pelajar dalam menghasilkan mural yang berkualiti serta memberikan manfaat kepada mereka serta pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Zain berkata, selain itu, dengan adanya program sedemikian secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan pantai serta tidak melakukan sebarang aktiviti vandalisme.

Beliau menambah, mural yang dihasilkan kesemua sukarelawan itu bertemakan pelancongan dan pengembaraan memandangkan daerah Kuala Langat mempunyai tiga pantai dikunjungi pelancong iaitu Pantai Morib, Pantai Cunang dan Pantai Kelanang.

“Selain itu daerah ini juga terkenal dengan pelbagai kawasan tarikan pelancongan lain seperti sukan ekstrim paragliding di Bukit Jugra, Muzium Insitu Jugra, Istana Bandar, Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, perkampungan Orang Asli etnik Mah Meri di Pulau Carey, litar go-kart dan pocket bike serta banyak lagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini