SHAH ALAM 2 Okt. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan pelakon dan pelawak, Didie Alias tidak melanggar sebarang kontrak penerbitan program travelog, Street Food Asian mahupun memfitnah penerbit drama dan pelakon, Datuk Rafena Ezanee Ramli serta syarikat penerbitannya.
Menurut peguam Azlan Abdul Razak yang dibantu Athirah Azham mewakili Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammad selaku defendan, bagi dakwaan pelanggaran kontrak, mahkamah mendapati tuntutan yang dikemukakan pihak plaintif iaitu Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. dan Rafena Ezanee tidak berasas dan tidak disokong oleh sebarang bukti.
Hakim Datuk Ishak Bakri ketika membaca keputusannya juga mendapati tiada sebarang bukti sokongan dikemukakan dan jumlah kerugian turut tidak dibuktikan sebaliknya dakwaan kerugian dinyatakan melalui keterangan saksi-saksi sahaja.
“Bagi dakwaan fitnah pula, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat oleh anak guam saya dalam media sosial Instagram miliknya tidak langsung merujuk kepada plaintif-plaintif sebaliknya Rafena Ezanee yang mendedahkan identitinya sendiri sehingga mengundang komen-komen negatif. Mahkamah juga mendapati kenyataan yang dibuat oleh Didie merupakan sesuatu yang berasas dan perlu dilihat secara keseluruhan,” ujar Azlan ketika dihubungi.
Oleh itu, Azlan memberitahu, mahkamah memutuskan untuk menolak saman plaintif yang diwakili peguam Mohd. Fadhly Hashim dengan kos berjumlah RM10,000.
Pada pada 21 Mac 2017, plaintif mendakwa Didie yang juga bekas penerbit eksekutif syarikat itu telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam penerbitan sebuah travelog ‘Street Food Asian’ sehingga menyebabkan Rafena Ezanee dan Dark Wave mengalami kerugian.
Pelakon telefilem Pontianak Kampung Batu itu juga didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif dalam laman Instagram milik Didie dan akhbar sehingga terdapat komen yang menjatuhkan maruah plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM107,000 bagi pelanggaran kontrak dan ganti rugi am sebanyak RM300,000 kerana memfitnahnya. Yang turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Sementara itu, Didie melalui laman Instagramnya mengucapkan rasa syukur atas keputusan mahkamah hari ini.











