KUALA LUMPUR 29 Sept. – Pergerakan Wanita UMNO berpendapat kuasa autonomi wajar diberikan kepada UMNO Sabah untuk menentukan dasar parti di negeri itu.
Melihat perkara itu sebagai perubahan yang baik untuk parti, Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad memberi sokongan penuh kepada kepimpinan UMNO Sabah.
“Wanita juga merasakan autonomi itu adalah patut dan memerlukan perbincangan yang lebih mendalam antara Presiden dengan barisan kepimpinan UMNO Sabah.
“Kami berharap Presiden akan menjelaskan mengenai autonomi itu kepada parti seluruhnya kerana Wanita akan terus menyokong apa-apa keputusan yang membawa kebaikan untuk UMNO pada masa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pemberian kuasa autonomi kepada Sabah untuk menentukan dasar-dasar parti di negeri itu tanpa terikat dengan keputusan di peringkat Pusat.
Terdahulu beliau berucap pada ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











