KUALA LUMPUR 29 Sept. – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Suhaimi Kamaruddin menerima anugerah khas Pemuda UMNO 2018 sebagai menghargai sumbangannya dalam sayap itu dan juga parti.
Beliau yang berkhidmat sebagai ketua pergerakan sayap itu pada 1978 hingga 1982 berkata, beliau berterima kasih kepada UMNO kerana memilihnya dan menganggap anugerah itu sebagai rezeki dari Allah.
“Saya minta kepada anak Melayu yang ada sekarang, ada peluang berilah sumbangan kepada negara dan memperjuangkan bangsa serta tanah air di bawah pimpinan UMNO.
“UMNO kuat kerana kitalah nadi dan kekuatan parti ini. Jangan sia-siakan perjuangan parti ini kerana UMNO sudah berkorban macam-macam untuk memerdekakan negara,”ujarnya ketika menerima anugerah berkenaan.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Suhaimi dihargai atas jasanya kepada pergerakan itu dan UMNO amnya, terutama apabila sering turun padang dalam membantu masyarakat, selain menangani beberapa isu termasuk kebanjiran warga asing ketika itu.
Malah zaman beliau ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO turut disifatkan sebagai zaman ‘era bertindak’. -UTUSAN ONLINE











