Tsunami melanda Sulawesi - Utusan Malaysia

Tsunami melanda Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Indonesia digegarkan oleh gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 semalam, manakala Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan banyak bangunan runtuh selepas gegaran kuat itu berlaku.

Amaran tsunami turut dikeluarkan dan dilaporkan air laut setinggi dua meter melanda bandar Palu di Sulawesi Tengah.

“Tsunami berlaku di Palu,” kata Ketua Agensi Bahagian Gempa Bumi dan Tsunami, Rahmat Triyono seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bandar perikanan Palu dan Donggala yang mempunyai 600,000 penduduk terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari pusat gempa yang berlaku pada kedalaman 10km.

Agensi BNPB bagaimanapun sehingga kini masih berdepan kesukaran untuk menghubungi pihak berkuasa di bandar perikanan Donggala dan Palu. Lapangan terbang Palu turut ditutup.

Gempa kedua berlaku ketika menjelang maghrib dan jumlah kemusnahan serta kehilangan nyawa masih tidak diketahui.

Gempa awal dilaporkan memusnahkan banyak rumah, mengorbankan seorang individu dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang di Donggala, kata pihak berkuasa.

Beberapa individu memaklumkan melalui Twitter bahawa mereka tidak dapat menghubungi ahli keluarga masing-masing di dua bandar terbabit.

“Keluarga saya di Palu tidak dapat dihubungi,” kata seorang pengguna Twitter, @novyionella.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan magnitud gempa kedua pada kekuatan 7.5 selepas dikatakan gempa pertama 7.7 pada skala Richter.

“Gempa kedua sangat kuat, kami jangkakan lebih banyak kemusnahan dan mangsa,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu temu bual televisyen.

Beberapa siri gempa bumi pada bulan Julai dan Ogos mengorbankan hampir 500 orang di pulau percutian Lombok, be­ratus-ratus kilometer di barat daya Sulawesi.

Indonesia terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik dan sering dilanda gempa bumi.

Pada 2004, gempa bumi melanda kepulauan Sumatera mencetuskan tsunami di sepanjang Lautan Hindi, mengorbankan lebih 226,000 nyawa di 13 buah negara termasuk lebih 120,000 di Indonesia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini