PORT DICKSON 29 Sept. – PKR akan menggunakan pendekatan memujuk dan mengajak pengundi di Port Dickson untuk keluar beramai-ramai bagi mengundi pada plihan raya kecil (PRK) Parlimen tersebut 13 Oktober ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan akan diberikan untuk menonjolkan rekod dan prestasi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini.
“Kami akan ceritakan kembali rekod-rekod tersebut termasuk ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan. Itu semua akan kami tonjolkan supaya dapat mengembalikan ingatan pengundi di Port Dickson terhadap calon yang kami tawarkan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson, di sini malam tadi.
Sementara itu, jelas Saifuddin Nasution, jentera pilihan raya PH juga dinasihatkan supaya tidak mengamalkan sebarang serangan peribadi ke atas semua calon yang bertanding.
“Anwar mahukan jentera kempen memberikan tumpuan kepada langkah-langkah dalam agenda besar menyelamatkan negara dan kita telah diberikan mandat sebagai pemerintah.
“Jika lawan kami membaling tahi, kami tidak akan bertindak perangai sama, sebaliknya akan memberi bunga dan melayan dengan senyuman,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, sasaran 70 peratus keluar mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat munasabah dan mampu dicapai.
“PKR akan jadikan sasaran 70 peratus SPR itu sebagai penanda aras pada PRK kali ini, jika lebih daripada itu, itu satu keputusan membanggakan semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE











