PORT DICKSON 29 Sept.- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat mendoakan hubungannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertambah baik seterusnya bersama mentadbir dan membangunkan negara.
Jelas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu, dalam politik sudah tentu ada pihak yang cuba melaga-lagakan hubungan beliau dan Dr. Mahathir.
“Tiap-tiap hari saya dengar kata Anwar mahu jatuhkan Mahathir dan Mahathir mahu jatuhkan Anwar. Sudahlah, saya bergaduh dengan Dr. Mahathir sudah 20 tahun, baru baik, doalah bagi baik.
“Dr. Mahathir jumpa saya, kita bincang, tak timbul isu saya nak jadi Perdana Menteri, kami berbincang berdua dan berpakat untuk selamatkan Malaysia yang sudah rosak,” katanya sewaktu berucap dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, di sini malam tadi.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PH.
Sementara itu tambah Anwar, sejak dibebaskan dari penjara empat bulan lalu beliau telah ke beberapa negara dan menerima reaksi kagum daripada masyarakat luar berkenaan kemampuannya memaafkan Dr. Mahathir.
“Tak mudah lupakan.. susah tapi bila fikir Anwar susah, rakyat lagi susah, pemimpin jangan lupa rakyat yang menyokong kita majoriti susah, mereka nak kerajaan dipimpin orang yang bersih.
“Giliran Tun Mahathir biar dia jalankan negara dengan baik dengan sokongan kita, kalau ditakdirkan semua berjalan baik, rakyat sokong dan tiba giliran saya, saya sambung pula,” katanya. – UTUSAN ONLINE











