KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) mengesahkan angka kematian di seluruh negara akibat keracunan arak sehingga semalam meningkat kepada 40 orang berbanding 37 orang sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian terbaharu direkodkan setakat pukul 12 tengah hari kelmarin masing-masing melibatkan satu mangsa di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
“Dengan ini jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol telah meningkat kepada 40 kes.
“Jumlah kematian di Selangor adalah seramai 24 orang, diikuti Kuala Lumpur (11), Perak (4) dan satu kes di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan kes keracunan metanol di Selangor pula adalah sebanyak 63 kes manakala Negeri Sembilan meningkat kepada tiga kes dan Kuala Lumpur serta Perak kekal sebanyak 17 dan 12 kes.
Jelasnya, bagi pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital, terdapat lapan kes yang telah didapati stabil dan telah dibenarkan pulang.
“Sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 17 orang pesakit masih dirawat di enam buah hospital di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.
“Daripada 17 orang pesakit ini, tujuh pesakit adalah kes kritikal,” tambahnya.











