KUALA LUMPUR 29 Sept. – Lagu nyanyian Ayda Jebat, 26, berjudul Mata nukilannya bersama-sama Audi Mok dan Shazee Ishak berjaya merangkul trofi Lagu Terbaik Malaysia dalam penganjuran Anugerah Planet Muzik 2018 (APM 2018) yang berlangsung di Singapura, malam tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus mengetepikan empat pencabar lain iaitu Nama Yang Kau Lupa nyanyian kumpulan rock legenda, Search, Senyum (As’ad Motawh), Separuh Matiku Bercinta (Dayang Nurfaizah) dan Superfly (Mimifly).
Terdahulu, lagu nyanyian Ayda atau Nur Suhada Jebat itu pernah mencetuskan kontroversi setelah dicalonkan di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik yang diadakan pada tahun lalu, namun gagal mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32).
Sementara itu, turut menerima pengiktirafan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika yang berduet menerusi lagu Kisah Ku Inginkan sebagai Kolaborasi Terbaik Artis.
Lagu nyanyian penyanyi remaja kontroversi, Haqiem Rusli berjudul Tergantung Sepi muncul sebagai Lagu Paling Popular APM 2018, manakala Khai Bahar memenangi trofi Ikon Media Sosial.
Lagu nyanyian penyanyi kelahiran Singapura, Sufi Rashid iaitu Aku Sendiri berjaya mengungguli kategori Lagu Paling Popular Singapura. – UTUSAN ONLINE











