KUALA LUMPUR – Senarai pengisytiharan harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang sepatutnya dipaparkan di portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober ditangguhkan ke 15 Oktober.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, penangguhan tersebut dilakukan kerana semua anggota kabinet dan Ahli Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka.
“Senarai perisytiharan tersebut sepatutnya dilakukan pada 1 Oktober ini namun kita terpaksa menangguhkan untuk dua minggu bagi membolehkan anggota Kabinet dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka.
“Senarai harta ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum dipaparkan di portal rasmi SPRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Deklarasi dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ketua Jabatan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini semalam.











