KUALA LUMPUR 28 Sept. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan ke manakah peruntukan tahunan RM20 juta yang dijanjikan pentadbiran terdahulu kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang kemudiannya cuma mendapat RM3.5 juta.
Katanya, program itu turut hanya diperuntukkan RM10 juta ketika tahun penubuhannya pada 2014 dan kian berkurangan kepada RM3.5 juta pada tahun-tahun berikutnya, dengan 80 peratus pembayaran gaji mulanya ditanggung oleh sebuah syarikat swasta.
“Ada penajaan sebuah syarikat besar yang membayar 80 peratus gaji program ini tetapi telah diberhentikan dua tahun lalu.
“Akibatnya kerajaan terpaksa menampung ketiadaannya sehingga peruntukan kepada sukan-sukan lain terpaksa dikecilkan,” katanya.
Syed Saddiq ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan syarikat korporat kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia di Indonesia yang akan bermula 6 Oktober ini di Kompleks Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini hari ini.
Beliau mengulas kegagalan sasaran jangka pendek NFDP melibatkan skuad bawah 16 tahun (B-16) negara ke Piala Dunia Bawah 17, tahun depan setelah tersingkir pada peringkat Kumpulan A Kejohanan Bawah 16 AFC di Bukit Jalil Rabu lalu.
Pencapaian skuad Lim Teong Kim yang dihampakan Jepun 2-0 dan Thailand 4-2 setelah membelasah Tajikistan 6-2 dianggap lebih buruk berbanding kemaraan skuad S. Balachandran yang disekat Australia 2-1 dalam suku akhir di Thailand empat tahun lalu.
Syed Saddiq menambah, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menambah baik NFDP yang tetap dianggapnya positif namun kosnya perlu distrukturkan semula setelah khidmat Teong Kim ditamatkan serta-merta semalam.
Sementara itu katanya, sasaran pingat bagi kontinjen Sukan Para Asia bakal diumumkan Isnin ini dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Kontinjen itu, yang diketuai Lee Seng Chow dan dianggotai 138 atlet akan menyertai 151 acara, menerima penajaan berjumlah RM300,000 daripada sembilan syarikat korporat, satu peningkatan besar berbanding temasya terdahulu.











