KUALA LUMPUR 28 Sept. – Saman Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan difailkan minggu hadapan.
Menurut peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Sultanah Nur Zahirah (gambar), surat tuntutan telah dihantar kepada Rewcastle-Brown dan Sarawak Report semalam.
“Sekiranya mereka tidak menjawab surat tuntutan firma saya dalam tempoh lapan hari dan memohon maaf mengikut terma yang telah ditetapkan sebagai peguam kepada Tuanku Sultanah, saman akan difailkan. Butiran lanjut akan kami maklumkan esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Mohd. Haaziq melalui firma guamannya, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq memaklumkan mengenai satu sidang akhbar akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya esok berhubung saman yang akan dikemukakan oleh Sultanah Nur Zahirah.
Menurut peguam tersebut, saman itu akan tetap diteruskan meskipun Rewcastle-Brown telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf semalam atas kekeliruan yang berlaku.
Pada 14 September lalu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu telah mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).
Kenyataan itu menyangkal dakwaan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position”.
“Sultanah juga tidak pernah pada bila-bila masa mengenali ataupun mempunyai sebarang hubungan dengan penama ‘Jho’ yang tersebut dalam buku itu,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan memohon maaf semalam, Rewcastle-Brown turut menyebut tulisan buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose dibuat berdasarkan kenyataan Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho yang selalu bermegah kerana sering bersosial dengan keluarga diraja termasuk dalam mendapatkan jawatan dalam TIA.
“Kami sedar kaitan antara Jho Low dan keluarga Diraja Terengganu adalah melalui saudara perempuan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan suaminya dari segi perniagaan.
“Atas dasar ini juga cetakan seterusnya buku ini akan mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Sultanah Terengganu dan sebaliknya akan merujuk kepada saudara perempuan Sultan Terengganu,” kata kenyataan Rewcastle-Brown.











