MARANG 28 Sept. – Pas tidak gentar dengan apa jua ramalan Pakatan Harapan (PH) termasuk memperkecilkan ketokohan calon parti itu sebagai tidak ‘sepadan’ untuk mencabar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah telah membuktikan Pas pernah menewaskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Kota Star Selatan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969 iaitu ketika pemimpin itu Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, walaupun kemenangan di Parlimen Port Dickson tidak mudah tetapi impian itu bukan sesuatu mustahil berdasarkan peningkatan gelombang dalam PRK Sungai Kandis dan Seri Setia lalu.
“Yang akan menentukan adalah rakyat. Kita kena sedar satu undi, satu suara yang akan menentukan, walaupun lebih satu undi pun boleh menang.
“Pas tidak gentar. kita pernah menghadapi orang yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Pas mempertaruhkan Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, 57, untuk bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson.
Semalam, Naib Presiden PAN, Dr. Hasan Baharom menyifatkan Pas tidak akan mampu menyaingi ketokohan Anwar sebaliknya, parti itu bertanding semata-mata tidak mahu memberi kemenangan mudah kepada bakal Perdana Menteri kelapan itu.

Abdul Hadi memberitahu, pengalaman Mohd. Nazari sebagai bekas pegawai kanan tentera dan bertanding di kawasan kem tentera di Port Dickson mampu memberi kelebihan walaupun sebelum ini pernah tewas dalam beberapa siri PRU di Johor sebagai ukuran.
Beliau turut menyentuh situasi semasa kerajaan PH yang dilihat tidak sekata termasuk pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan semalam sedikit sebanyak memudahkan laluan Pas di Port Dickson.
“Kita harap undi kita tidak pecah sebaliknya yang pecah adalah undi orang lain. Dan berharap undi Barisan Nasional (BN) akan banyak berpihak kepada kita,” katanya.
“Kita mampu ulangi gelombang dalam dua PRK lalu walaupun tidak mudah tetapi gelombang itu ada. Sekurang-kurangnya kita dapat meningkatkan jumlah undi jika tidak menang,” katanya.











