PORT DICKSON – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak yang mempersoalkan pengampunan penuh diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V empat bulan lalu.
Beliau berkata, perkara itu sepatutnya tidak perlu dibangkitkan kerana pengampunan itu dibacakan oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di kediaman mereka di ibu negara.
“Apabila sudah dibebaskan, satu atau dua pihak yang tidak puas hati itu biasa. Kita tidak boleh hentikan mereka daripada menggunakan isu ini kerana ini negara yang bebas.
“Bagaimanapun mereka tidak boleh mempersoalkan pengampunan tersebut kerana ia telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini hari ini.
Hadir sama, Wan Azizah; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang meragui pengampunan penuh diterimanya sekali gus didakwa boleh menyebabkan beliau tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.
Tambahnya, semasa diberi pengampunan berkenaan, beliau turut membangkitkan persoalan ekoran tidak perlu menandatangani sebarang surat pembebasan.
Jelas Anwar lagi, ketika itu beliau dimaklumkan bahawa semua rekodnya telah dibersihkan sama sekali. – K! ONLINE











