SAUDARA PENGARANG,
ISU pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan dari awal lagi kerana ia melibatkan masa depan peminjam itu sendiri serta bakal peminjam lain kelak.
Isu pinjaman pendidikan sentiasa mendapat tempat dalam negara kita berbanding jenis pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, perniagaan, kenderaan atau pinjaman peribadi kerana ramai rakyat kita khususnya dalam kalangan generasi muda mempunyai pinjaman pendidikan bagi membantu proses pembelajaran mereka ke peringkat pengajian tinggi.
Pinjaman pendidikan juga sentiasa menjadi isu hangat kerana terdapat ramai golongan muda ini yang didapati liat, lewat dan gagal melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing.
Terdapat pelbagai jenis pinjaman pendidikan yang wujud dalam negara kita seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (Mara), pinjaman daripada yayasan-yayasan atau kerajaan negeri, pinjaman daripada institusi atau organisasi tertentu serta pinjaman pendidikan dengan bank.
Namun, antara jenis pinjaman pendidikan yang paling popular adalah PTPTN di mana lebih 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat sejak 20 tahun lalu.
Walau apa pun jenis pinjaman pendidikan yang ditawarkan, isu ini tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak kerana mereka yang terlibat dengan pemberian pinjaman berkenaan telah bertungkus-lumus memastikan para peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman.
Terdapat pelbagai konsesi serta proses pemudah cara bagi melunaskan kembali pinjaman pendidikan yang dibuat bagi memberi kemudahan kepada para peminjam.
Seperti yang dinyatakan, kebanyakan peminjam terdiri daripada generasi muda yang bakal menempuhi alam pekerjaan dan rumah tangga. Sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khususnya mengenai perkara ini, seolah-olah memberi satu isyarat kepada para peminjam bahawasanya tidak salah bagi mereka berlengah-lengah menangguhkan atau langsung tidak membayar balik pinjaman.
Akhirnya, ia akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta sambil lewa terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
USIM











