Harapan, hala tuju UMNO - Utusan Malaysia

Harapan, hala tuju UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJUNG minggu ini, sekali lagi orang-orang Melayu akan berkampung di Kuala Lumpur bersama-sama berbincang mengenai nasib untung bangsa. Namun suasana kali ini agak berbeza, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional mempertahankan penguasaan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah memberi tamparan hebat buat UMNO. Pelbagai persoalan ditimbulkan oleh ahli di semua peringkat. Begitu juga masyarakat keseluruhannya yang banyak menerima pelbagai khidmat dan bantuan secara langsung sebelum ini daripada UMNO.

Sudah ada suara-suara yang mempersoalkan apakah UMNO masih lagi relevan menerajui cabaran masa hadapan. Apakah UMNO masih mendapat sokongan terutama golongan muda? Apa akan jadi kepada UMNO selepas PRU-15?

Memuatkan artikel berkaitan…

Adalah suatu yang menarik apabila penulis mendapat pelbagai gambaran dan kefahaman mengenai prinsip dan idealisme perjuangan parti itu sendiri. Apakah semua ahli UMNO tahu mengenai idealisme parti? Adakah mereka mengambil pendekatan ikut-ikut saja atau benar-benar menghayatinya?

Sekiranya idealisme tidak mampu dihadam dan dihayati dengan baik, mana mungkin seorang yang mengaku dirinya pejuang mampu menahan ombak dan badai, dilambung ombak perjuangan yang ganas.

Mana mungkin mereka dapat melawan pelbagai arus penyebaran maklumat palsu atau separuh benar jika mereka tidak menghayati idealisme perjuangan. Mereka perlu yakin dan percaya dengan perjuangan parti. Jika tidak, mereka gagal menjawab segala fitnah dan tohmahan.

Inilah yang berlaku seusai sahaja PRU-14 yang lalu. Terlalu banyak pengharapan dan pertanyaan yang tidak bersambut dan terjawab.

Persoalan lebih banyak daripada jawapan. Ahli bawahan yang masih dalam keadaan lethargic atau pun kelesuan berpanjangan, menambah parahkan lagi kecelaruan yang terjadi. Malah ada yang berpandangan bahawa UMNO sudah tidak mampu bangkit dan dipulihkan lagi.

Malah defisit kepercayaan kepada pimpinan dan melayani tuntutan pihak yang hanya mahu memecahbelahkan UMNO, membuatkan ahli bawahan dilihat semakin hilang arah. Lantas, timbullah cerita-cerita yang direka bagi menghancurkan tembok keyakinan yang terbina kukuh.

Natijahnya, timbul desakan agar perubahan kepimpinan dilakukan secara total. Muka-muka baharu mestilah diberi peluang dan ditampilkan. Maka kedengaranlah banyak suara yang mahukan pembaharuan hala tuju dan bentuk baharu UMNO.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, idealisme perjuangan yang berasaskan quadra-lateral model juga mahu diubah, kononnya bagi memastikan UMNO kekal relevan.

Justeru, ada yang mahukan UMNO dibuka kepada kaum bukan Melayu dan tidak hanya tertumpu kepada persoalan bangsa dan agama semata-mata. Meritokrasi semakin menjadi tajuk bualan, konsep Malaysian Malaysia mula disajikan dan fahaman liberalisme mula disemai.

Konsep-konsep ini bukanlah asing bagi ahli UMNO tetapi disebabkan perubahan kerajaan, maka desakan semakin kuat meminta masyarakat menerimanya. Terpulanglah kepada ahli UMNO untuk menangkis dan menjelaskan bahawa ia tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Yang pasti, ucapan dasar Presiden menjadi tumpuan semua lapisan ahli UMNO yang berkampung hujung minggu ini. Inilah senario berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah, ucapan dasar Presiden amat dinanti-nantikan. Semua mata dan telinga akan tertumpu kepada apa yang hendak dilafazkan. Setiap bait-bait ayat akan dinilai dan dianalisis, bagi memahami arah tujuan dan apa yang hendak dilakukan.

Kini tumpuan difokuskan kepada bahu Presiden parti, bagi menyampaikan amanat dan fikrah kepresidenannya. Sudah tentulah nanti, ia akan memberi sedikit sebanyak bahan yang boleh dijadikan kompas moral kepada ahlinya untuk terus berjuang.

Malah perkembangan mutakhir ini yang melihat kecenderungan kerjasama politik UMNO amat menarik perhatian untuk dianalisis. Banyak telahan dan tafsiran yang dibuat. Kehadiran pemimpin pembangkang bersama-sama dalam beberapa pilihan raya kecil juga menarik perhatian penganalisis politik.

Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri. Hakikatnya, UMNO memerlukan rakan strategik untuk terus maju ke hadapan. UMNO mesti memperkuatkan kerjasama blok pembangkang. UMNO mesti membina sebuah gabungan atau gagasan bagi merealisasikan impiannya bagi mengambil-alih semula pemerintahan.

Inilah yang mesti difahami daripada kerjasama ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghabiskan sebahagian besar karier politiknya memusuhi DAP, akhirnya akur dan duduk semeja. Beliau terpaksa berkompromi demi kekuasaan. Tiada rakan dan musuh kekal dalam politik.

Kerjasama politik ini tidak harus dilihat dalam konteks yang sempit. Ia harus dilihat dalam kerangka lebih besar demi kelangsungan hidup sebuah parti yang telah berjasa kepada rakyat selama 61 tahun.

UMNO tidak perlu menggadaikan prinsip dan idealisme perjuangan sebagai prasyarat muafakat politiknya. Kepelbagaian etnik rumpun Melayu dan agama menunjukkan UMNO sudah mengamalkan kemajmukan dan diversity lama dahulu.

UMNO berada dalam landasan yang betul. Namun kesilapan dan kealpaan segelintir pemimpinnya, membuatkan UMNO terpalit dan terjerumus ke dalam kancah kehancuran.

UMNO mampu bangkit semula jika setiap ahlinya berpegang teguh kepada idealisme perjuangan dan nilai-nilai naratif tahun 1946.

Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan ahli parti untuk mengambil ibrah daripada ketentuan Allah SWT yang berlaku. Ucapan dasar Presiden nanti akan menjadi kompas moral ke arah hala tuju sebenar UMNO.

DATUK DR. NOOR AZIZAN Abdul MAJID ialah pemikir dan penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini