KOTA KINABALU – Kerajaan perlu mengkaji mekanisme baharu mencipta pengangkutan air yang mampu menandingi pergerakan pam bot di kawasan perairan pantai timur Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kerajaan yang mempunyai kapasiti kepakaran dalam pelbagai bidang sepatutnya berkemampuan mencipta pengangkutan baharu untuk beroperasi di kawasan perairan cetek.
Menurut Mohd. Azis, pengharaman penggunaan pam bot di kawasan perairan bukan satu penyelesaian di negeri ini kerana pantai barat bebas daripada kejadian jenayah penculikan.
“Sebagai kerajaan, kita perlu fikir luar daripada kotak mencari medium pengangkutan yang mampu menandingi pergerakan pam bot di perairan Sabah khususnya.
“Kita mempunyai kepakaran daripada pelbagai universiti. Perkara ini kita boleh laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Mesej dari Penjara Peringkat Zon Sabah 2018 di sini hari ini.
Mohd. Azis berkata, penggunaan pam bot di kawasan perairan pantai timur Sabah digunakan oleh penduduk untuk mencari rezeki.
Bagaimanapun katanya, beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengkaji semula kebenaran penggunaan pam bot di kawasan perairan di negeri ini.
Pada 11 September lalu, dua rakyat Indonesia masing-masing berusia 30 dan 35 tahun diculik di perairan Pulau Bodgaya di Semporna oleh dua suspek yang memakai pakaian gelap dan bersenjata.
Penculikan yang didalangi kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) itu dipercayai menggunakan pam bot melarikan kedua-dua mangsa ke selatan Filipina.
Semalam, dua tali barut KFR ditembak mati ketika cuba melarikan diri menggunakan sebuah pam bot di perairan Kunak. – K! ONLINE











