IPOH – Dua lelaki pemilik kedai runcit ditahan reman selama sehari sehingga petang ini bagi membantu siasatan kes dua lelaki maut selepas mengalami simptom keracunan metanol akibat meminum arak.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi kira-kira pukul 11.50 pagi di Mahkamah Majistret Ipoh di sini sebentar tadi.
Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 35 dan 44 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat yang membawa hukuman boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Difahamkan, kedua-dua lelaki itu merupakan pemilik kedai runcit di Bercham dan Taman Sri Kanthan dekat Chemor di sini.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan dua lelaki tempatan disahkan maut manakala tiga lagi sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas dipercayai mengalami simptom keracunan metanol akibat meminum arak.
Kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah hospital swasta di sini pada Isnin lalu manakala seorang lagi yang berusia 50 tahun maut semasa dalam perjalanan ke HRPB keesokan harinya.
Dua lagi lelaki masing-masing berusia 41 dan 53 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB manakala seorang lagi pesakit berusia 35 tahun dilaporkan stabil.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua mangsa mengalami simptom keracunan seperti kabur penglihatan, loya, muntah, sesak nafas, sakit perut dan sakit badan.
Simptom itu dipercayai berlaku selepas mereka meminum arak jenis Grand Royal dan bir Kingfisher buatan India yang dipercayai dibeli di Bercham dan Tanjung Rambutan berdasarkan laporan yang diterima. – K! ONLINE











