PERMATANG PAUH 20 Sept. – Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Tambun Indah sebelum akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Bakap selepas solat Asar.
Abdul Rashid yang berusia 70 tahun meninggalkan seorang isteri Datin Seri Rabaayah Md. Naim dan tiga orang anak.
Difahamkan arwah pengsan di rumahnya sebelum dibawa ke hospital sebelum meninggal dunia tengah hari ini.
Beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan sejak tahun 1970-an sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Penerangan Malaysia; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelidikan Sosioekonomi Jabatan Perdana Menteri dari 1988 hingga 1989.
Beliau kemudian menceburi politik sepenuh masa pada 1993 dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2004 serta dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE











