POKOK SENA 19 Sept. – Orang ramai terutamanya siswazah disaran merebut peluang mencari pekerjaan menerusi beberapa program yang menawarkan pelbagai kerjaya bersesuai dengan kelayakan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, platform pencarian pekerjaan seperti ‘Job Fair’ dan ‘Career Fair’ dilihat langkah kerajaan membawa peluang pekerjaan itu kepada masyarakat terutama golongan yang sedang mencari pekerjaan.
Menurutnya, penganjuran program sedemikian di tempat pusat setempat seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) secara tak langsung membawa majikan daripada sektor kerajaan mahu pun swasta terus kepada pemohon pekerjaan itu sendiri.
“Jadi tak boleh lagi terdapat alasan daripada masyarakat kononnya sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana peluang pekerjaan itu sendiri sudah muncul di depan anak tangga rumah pemohon pekerjaan dan dalam konteks ini, UTC itu ibarat ‘anak tangga rumah’ pemohon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Luar Bandar Mara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan pengarah (Pembangunan) Mara negeri, Che Ab. Karim Awang, dan Pengetua SMK Pokok Sena, Ahmad Othman.
Mahfuz menambah, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha mengurangkan pengangguran dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia.
“Kementerian menerusi Jabatan Tenaga Manusia menyampaikan inisiatif tersebut dengan mengadakan beberapa siri ‘Job Fair’ sebelum ini juga , tidak kurang 1,000 peluang pekerjaan dari pelbagai sektor ditawarkan berdasarkan kelayakan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











