Isteri ditembak, suami lari - Utusan Malaysia

Isteri ditembak, suami lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Sept. – Sudahlah cedera terkena dua das tembakan, suami pula lari meninggalkannya.

KERETA yang dinaiki suspek dan isterinya terbabas selepas cuba merempuh beberapa anggota polis semasa melarikan diri di Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, Johor, malam semalam.

Itu nasib seorang wanita berusia 40 tahun yang cedera di bahagian paha dan belakang setelah kereta yang dipandu seorang suspek dipercayai suaminya cuba melanggar beberapa anggota polis ketika meloloskan diri daripada ditahan di Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian pukul 8.05 malam, suspek, Abu Hanipah Mohd. Yunos, 29, melarikan diri selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, sepasukan polis daerah Kota Tinggi melibatkan lapan anggota membuat operasi dan terserempak sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek dalam beberapa kegiatan jenayah.

“Mengesan kehadiran polis, suspek bertindak agresif bagi mengelakkan daripada ditangkap dengan memandu laju dan hampir melanggar beberapa anggota polis sebelum tiga das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan berkenaan, dua daripadanya terkena bahagian belakang dan paha wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Suspek itu kemudiannya meloloskan diri secara bersendirian dan pihak polis sedang giat mengesan lelaki terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khalil, wanita itu yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini kini berada dalam keadaan stabil.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa kes lampau antaranya melibatkan kegiatan mencuri kenderaan dan berkaitan dadah.

“Kes masih dalam siasatan. Selain menyiasat kes ini, kita juga melihat prosedur operasi standard (SOP) tindakan anggota polis melepaskan tembakan sama ada mematuhi piawaian atau tidak,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mohd. Khalil menambah, alamat terakhir suspek ialah di Jalan Teluk Ramunia, Air Besar, Kampung Baru Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Daerah Kota Tinggi, Asisten Superintenden Hamsa Mohamad di talian 019-6215906 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini