MELAKA 18 Sept. – PENGGUNAAN slogan ‘Pintar, Hijau, Bersih’ oleh kerajaan negeri ini seperti tidak memberi sebarang kesan kepada masyarakat yang masih bersikap lepas tangan dalam soal kebersihan.
Sikap segelintir individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak cakna terhadap kawasan sekeliling ternyata masih menjadi masalah utama dalam usaha kerajaan menjayakan kempen kebersihan.
Tahap kesedaran yang masih rendah secara tidak langsung mencerminkan mentaliti kita masih lagi terkebelakang.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Seri Emas, Telok Mas di sini baru-baru ini mendapati masalah pembuangan sampah terutama di tepi jalan semakin berleluasa.
Sikap pengotor dan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah langsung tidak menghiraukan usaha serta penguatkuasaan pihak berkuasa untuk menjaga kebersihan di tempat awam dan kawasan perumahan.
Kewujudan tempat pembuangan sampah haram di kawasan kediaman itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan bahkan menimbulkan pelbagai masalah seperti bau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Selain di sekitar kawasan perumahan dan kilang yang beroperasi di situ, laluan utama ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sebuah sekolah yang terletak berhampiran turut dicemari sampah-sarap.
Keadaan menjadi bertambah merimaskan apabila sampah yang terbiar dibasahi hujan dan diselongkar oleh haiwan seperti anjing dan gagak.
Penduduk mendakwa, tabiat membuang sampah di tepi jalan itu sudah menjadi kebiasaan penduduk kerana sikap malas dan tiada kesedaran sivik walaupun tempat untuk membuang sampah telah disediakan oleh pihak berkuasa.
Lebih mengecewakan, pemasangan papan tanda yang melarang aktiviti membuang sampah di sesetengah kawasan berkali-kali ditumbangkan untuk ‘membenarkan’ perlakuan mereka.
Permandangan seperti itu pasti mematahkan usaha kerajaan untuk menjadikan negeri ini kekal bersih dan bebas daripada masalah pembuangan sampah haram.
Namun, tindakan yang seolah-olah mencabar kewibawaan dan ketegasan pihak berkuasa itu tidak wajar dipersalahkan kepada semua penduduk kerana hanya melibatkan segelintir individu.
Sehubungan itu, penduduk menyeru pihak berkuasa sama ada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atau pun agensi berkaitan mengambil tindakan tegas dalam membendung budaya tidak sihat itu.











