Jenama radio nombor satu di Pantai Timur, Malaysia, Gegar kini dalam misi mencari seorang penyanyi dari Pantai Timur melalui kempen Pentas GEGAR Deeja.
Pertandingan Pentas GEGAR Deeja bertujuan mengasah bakat pemenang agar berkebolehan untuk menjejaki langkah bakat-bakat Malaysia yang lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Saleem Iklim, Man Khan, Rosalinda dan Adik Wani.
Kempen Pentas GEGAR Deeja telah bermula dari 9 hingga 29 September depan secara eksklusif menerusi laman media sosial.
Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham menyifatkan bumi Pantai Timur sebagai lubuk yang kaya dengan bakat luar biasa, potensi besar dan mampu menggemparkan dunia hiburan.
“Namun, ramai yang masih belum berpeluang untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya. Maka dengan itu, Gegar mahu memberikan sebuah platform kepada mereka untuk memulakan perjalanan sebagai penghibur tanah air,” kata Raja Nadia.
Peserta yang berminat untuk mengambil bahagian dalam Pentas GEGAR Deeja hanya perlu memuat naik sebuah video nyanyian berdurasi satu minit ke laman sosial Instagram masing-masing. Penyertaan perlu dilengkapkan dengan menggunakan tanda pagar #PentasGEGARDeeja. Peserta yang berjaya ke pusingan seterusnya akan dijemput untuk berentap pada pusingan akhir dan bakal diberikan tunjuk ajar daripada artis-artis terkemuka dalam industri seperti Khai Bahar, Syameel dan Syafiq Farhain melalui sistem Buddies.
Man Khan dan Misha Omar turut dijemput sebagai juri pada peringkat akhir.
Peserta juga harus memastikan bahawa laman sosial Instagram mereka diubah kepada umum (public) bagi membolehkan penyertaan mereka ditonton oleh para juri. Penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia.
Untuk maklumat lanjut tentang Gegar dan kempen-kempen yang bakal dijalankan, sila layari www.gegar.my atau kunjungi laman media sosial Gegar di Facebook, Instagram dan Twitter.











