IPOH – Pasukan bola sepak Perak hanya selangkah untuk merekodkan sejarah menjadi satu-satunya skuad yang merangkul ibu segala pingat di pentas Sukan Malaysia (Sukma) tiga kali berturut-turut setelah sah ke final apabila menundukkan Sabah 2-1 kelmarin.
Pada saingan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, Sabah terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-15 menerusi penyerang, Ariusdius Jais.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Muhamad Asyraaf Mat Pushni dua minit selepas aksi babak kedua bermula sebelum pemain gantian, Muhammad Alif Rieza Naharuddin meledak gol kemenangan pada minit ke-56.
Perak bakal beraksi menentang musuh tradisi, Kedah pada aksi final di Stadium Perak Ipoh malam ini.
Jurulatih Perak, Chan Wing Hoong memuji semangat skuad The Bos Gaurus yang berusaha bermati-matian untuk memastikan penyokong Perak yang membanjiri venue kejohanan tidak pulang kecewa.
“Gol yang dijaringkan Sabah sebenarnya berpunca daripada masalah komunikasi antara pemain pertahanan dan tengah Perak. Saya telah memberi kata-kata semangat kepada para pemain serta melakukan beberapa pertukaran pemain pada babak kedua perlawanan.
“Hasilnya, semua pemain kembali bersemangat dan beraksi mengikut strategi yang dirancang, sekali gus dapat menyamakan kedudukan serta meraih gol kemenangan.
“Saya tidak dapat menafikan bahawa kehadiran penyokong Perak yang membanjiri stadium telah memberi semangat luar biasa kepada pemain. Terima kasih saya ucapkan kepada para penyokong Perak,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan tersebut mengakui mereka bakal berdepan tugas getir apabila menentang Kedah pada aksi final.
“Ini adalah aksi wajib yang perlu disaksikan oleh peminat Perak. Pasukan yang memiliki keyakinan dan semangat juang yang tinggi sahaja akan dinobatkan sebagai juara,” katanya.











